Pre School in Malaysia

Pupuk Minat STEM, PM Arah MOSTI Senaraikan 100 Saintis Anjur Program di Sekolah

Anwar berkata inisiatif tersebut perlu dilakukan bagi meningkatkan minat pelajar kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang dilaporkan semakin berkurangan sekarang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyenaraikan 100 saintis dalam bidang bioteknologi untuk pergi ke 100 sekolah dan menganjurkan program di sana.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut perlu dilakukan bagi meningkatkan minat pelajar kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) yang dilaporkan semakin berkurangan sekarang.

Menurutnya, beliau mencadangkan syarikat besar dan berjaya melakukan perkara sedemikian, meluangkan masa kira-kira dua jam dalam satu sesi yang dilakukan dalam sebulan sekali.

“Saya cadangkan saintis perlu turun ke sekolah, buat program pendidikan dalam bidang tertentu… atau dari syarikat berjaya, contohnya syarikat berstatus BioNexus.

“Itu akan dapat melonjakkan minat pelajar kepada STEM. Kita dapat guna maklumat dari bidang itu dan sampaikan ke peringkat bawah.

“Jangan pandang ringan bab ini kerana kita dapat maklumat, sekolah terutamanya di pinggir bandar dan kawasan luar bandar itu jauh ketinggalan.

“Luangkan sebulan sekali, dua jam begitu, turun ke sekolah dan berikan sedikit pencerahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian National Bioeconomy Showcase 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu yang turut dihadiri Lih Kang.

Dalam ucapan sama, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta program Bio-based Accelerator (BBA) bagi menggalakkan perkembangan syarikat-syarikat tempatan dalam industri bioteknologi.

Sementara itu, Anwar mahu setiap dasar baharu berpaksikan digital di Malaysia perlu menjalar kepada rakyat kebanyakan, dan tidak hanya memanfaatkan segelintir pihak.

Menurutnya, beliau bukan mahu bersikap negatif terhadap golongan elit, namun menegaskan bahwa sekiranya tidak dikawal, kesenjangan di antara kaya dan miskin akan terus melebar.

Tegasnya, Malaysia juga tidak lagi boleh kekal dengan pendekatan semasa, sebaliknya semua harus dipercepatkan kerana negara sudah ketinggalan.

“Seluruh prasarana, keadaan baik ada di negara kita. Tiada sebab kita tidak boleh capai kejayaan, dengan syarat kita mesti adakan kesedaran ini.

“Tinggalkan budaya yang lama supaya petani, peladang, nelayan kita akan dapat manfaat dalam bioteknologi, dalam mengembangkan bidang ini dalam negara kita,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan, dalam usaha merakyatkan bioekonomi, pelaburan asing juga perlu diberi perhatian agar pembangunan itu berjalan dengan seimbang.

About Author