- July 30, 2024
- Updater
- (0)
- Informasi Semasa, Informasi Pendidikan
KTE Forest Heights Seremban Kini Bergelar KTE Tuanku Muhriz
SEREMBAN, 30 Julai — Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan memasyhurkan nama Kolej Tingkatan Enam (KTE) Forest Heights Seremban kepada Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.
Kolej itu adalah satu-satunya kolej tingkatan enam di Negeri Sembilan dengan menempatkan 868 pelajar dan 101 warga pendidik serta sembilan petugas sokongan.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Dalam pada itu, Pengetua kolej berkenaan Datin Seri Nurul Hidayah Seah Abdullah dalam ucapannya berkata pemasyhuran nama kolej berkenaan dapat memberikan inspirasi, motivasi dan semangat baharu kepada warga kolej untuk meningkatkan prestasi pelajar. “Semoga pemasyhuran ini menjulang nama kolej dengan kejayaan dalam bidang akademik dan sahsiah serta melahirkan ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam,” katanya menambah 13 pelajar kolej berkenaan meraih Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.