Pre School in Malaysia

Keputusan SPM 2023 dikeluarkan 27 Mei ini

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memberitahu bahawa calon yang mengambil peperiksaan di sekolah akan menerima keputusan dari sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat pendaftaran untuk mendapatkan keputusan peperiksaan,” jelas kenyataan itu.

KPM menekankan bahawa sekolah perlu menjalankan pengurusan penyerahan keputusan SPM 2023 kepada calon dengan cekap dan teratur.

Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh menyemak keputusan peperiksaan secara dalam talian di laman web myresultspm.moe.gov.my mulai jam 10 pagi pada 27 Mei hingga 6 petang pada 2 Jun.

“Calon juga boleh mendapatkan keputusan melalui SMS dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan menghantar ke 15888. Perkhidmatan ini akan beroperasi dari jam 10 pagi pada 27 Mei hingga 6 petang pada 2 Jun,” tambah kenyataan itu.

KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas kejayaan mereka dalam SPM 2023, serta berharap kejayaan tersebut akan menjadi dorongan untuk terus cemerlang dan memberi sumbangan kepada negara pada masa akan datang.

Jumlah keseluruhan calon yang mendaftar untuk SPM 2023 adalah 395,870 orang di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara.

About Author